Singgoh Le Dulu Aok Yer

Saturday, October 4, 2008

Teks Pidato

INSTITUSI DI RAJA DALAM PERLEMBAGAAN

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih dan penghargaan khas buat Tuan Pengerusi Majlis, Panel kehakiman yang arif, adil dan saksama pastinya, dif-dif kehormat, barisan para pendidik anak-anak2 bangsa seterusnya saudara-saudari yang saya hormati.

Assalamualikum wbt.

Pada pagi yang bersejarah penuh gilang gemilang ini, saya akan menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk ‘Institusi DiRaja Dalam Pembangunan Negara’.

Institusi mengikut pentakrifan Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka bermaksud : satu badan khas yang ditubuhkan untuk melaksanakan sesuatu tugas yang tertentu dan apabila ditambahkan perkataan diRaja dibelakangnya ia bererti institusi tersebut adalah berada di bawah tanggungjawab raja. Para Sarjana Sains Sosial pula mentakrifkan institusi sebagai satu kumpulan atau kelompok masyarakat yang hidup dalam satu komuniti masyarakat yang lebih besar. Pembangunan negara pula ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu keadaan penyatuan diantara usaha-usaha kerajaan dan usaha-usaha rakyat bagi meningkatkan taraf ekonomi, politik dan sosial, meyatupadukan rakyat dalam kehidupan negara dan membolehkan rakyat memainkan peranan yang semaksimum mungkin dalam pembangunan negara tersebut. Sekali lagi saya terdengar suara ahli-ahli Sarjana Sains Sosial, kali ini meyatakan bahawa pembangunan itu adalah satu keadaan perubahan social yang bersifat menyeluruh serta terbahagi kepada dua iaitu pembangunan secara terancang dan pembangunan secara tidak trancang.

Konklusi daripada definisi yang saya sebutkan tadi, dapatlah kita interpretasikan bahawa pidato yang sedang saya sampaikan pada hari ini akan membawa kita untuk meneliti, memahami dan seterusnya menghayati pembabitan dan peranan yang dimainkan oleh institusi beraja atau diRaja dalam meningkatkan taraf ekonomi, politik dan social yang menjurus kepada negara kita.
Sejarah telah membuktikan kepada kita semua bahawa tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang dapat mencapai kemajuan dan mengecapi nikmat pembangunan tanpa didahului oleh perpaduan di kalangan seluruh masyarakatnya. Di dalam masyarakat, raja merupakan lambang perpaduan. Jika dikaji Rukunegara, bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan yang lebih erat dikalangan seluruh masyarakatnya, maka salah satu prinsip untuk mencapai matlamat tersebut ialah kesetiaan kepada Raja dan negara. Semenjak Durbar pertama pada 1897 di Kuala Kangsar, Perak, raja-raja Melayu menekankan pentingnya kerjasama dan perpaduan bagi mencapai kemerdekaan dan selepas kemerdekaan usaha-usaha ini masih lagi diteruskan. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung ketika bertitah sempena hari keputeraan baginda pada 1989, telah berjanji untuk menekankan aspek-aspek kerjaama dan perpaduan dikalangan unit-unit dan jentera-jentera kerajaan bagi menjamin kesejahteraan kaum-kaum di Malaysia.

Dilihat pula dari segi keselamatan. YangDipertuan Agung selaku Ketua Negara juga merupakan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia. Ketiga-tiga cawangan ATM merupakan tiga buah institusi yang diletakkan di bawah tanggungjawab diRaja. Dibahu merekalah digantungkan harapan untuk mempertahankan tanahair daripada segala ancaman musuh-musuh, baik dari dalam mahupun dari luar negara. Dengan jaminan keselamatan ini segala usaha daripada kegiatan dan perkembangan ekonomi dapat diberikan tumpuan dan digerakkan sepenuhnya.
Didalam bidang pendidikan raja merupakan inspirasi rakyat kearah pengamalan budaya ilmu yang cemerlang. Semenjak zaman kegemilangan Melaka, istana merupakan gedung ilmu. Apabila era pendidikan formal bermula di Tanah Melayu, golongqan rajalah yang menjadi golongan utama di dalam menuntut ilmu pengetahuan sehinggalah kepada detik dan saat ini. Sebagai contoh dan sebagai bukti, KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar pernah ,menerima Ijazah Doktor Persuratan di bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya dan baru-baru ini, Yang diPertuan Agung, Sultan Azlan Shah telah menerima Ijazah Doktor Persuratan di bidang Undang-undang daripada Universiti Gajah Mada, Jogjakarta, Indonesia. Kemudianperlantikan Sultan-sultan sebagai Canselor-canselor university telaj menyemarakkan lagi era pendidikan di negara kita. Hasilnya jumlah golongan intelek di negara kita bertambah dari masa ke semasa dan ini memungkinkan kepada pembangunan yang lebih pesat.

Dengan berkembangnya agama Islam di Malaysia, maka di setiap negeri ditubuhkan jabatan agama Islam dengan sultan sebagai ketua agama negeri. Zakat harta orang-orang Islam menjadi tanggungjawab raja untuk diagih-agihkan bagi projek-projek pembangunan, kebajikan membantu fakir miskindan berbagai usaha yang lain. Natijahnya, pembangunan dan kemajuan yang sedang kita kecapi ini dapat dinikmati sama adil dan sama rata seperti kata pepatah ‘hati gajahsama dilapah, hati kuman sama dicecah’.

Kita sebagai bangsa Timur telah lama terkenal dengan adat tradisi dan budaya yang diamalkan semenjak zaman berzaman, adat tradisi dan peradaban akal budi yang kini dikagumi oleh masyarakat dunia masa kini. Jika dikaji sejarah peradaban tamadun dunia Melayu, kita akan dapati bahawa kebanyakan adat tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adala dicedok daripada kehidupan seharian di istana. Sebagai contoh, rakyat juga berpeluang menjadi raja. Kalau tak percaya tanyalah ibu dan bapa, pernahkah mereka menjadi raja dan permaisuri sehari. Saya pasti jawapannya pernah ketika melangsungkan adat perkahwinan mereka. Keunikan adat tradisi yang diamalkan ini telah menjadi tarikan masyarakat luar utk dtg ke negara ini. Ini dapat membantu perkembangan industri pelancongan seterusnya membantu pembangunan negara.

Di dalam bidang sukan pula, pembabitan yang aktif di kalangan raja-raja menjadi dorongan kepada masyarakat ke arah kegemilangan sukan. Contohnya, KDYMM Sltan Pahang dan YTM Tengku Mahkota Pahang begitu terkenal dengan penglibatan dalam sukan bolasepak, golf, hoki dan juga polo. Pasukan Polo DiRaja Pahang yang diketuai oleh Tengku mahkota Pahang, YTM Tengku Abdullah sering menerima undangan negara luar untuk bermain dalam kejohanan polo bertaraf antarabangsa dan sering pula pulang membawa kejayaan. Alangkah gahnya kita rakyat Negeri Pahang Darul Makmur. Jika dikaji perkembangan sukan bolasepak Semi-Pro di Malaysia, kita dapati hampir semua persatuan bolasepak negeri adalah dipengerusikan oleh Sultan dan pemangku-pemangkunya. Contohnya, Tengku Abdullah di Pahang dan Raja Nazrin di Perak. Presiden FAM sendiri ialah Tengku Abdullah. Sultan Pahang sendiri, Sultan Haji Ahmad Shah telah menerima anugerah Grand Order of The Mugunghwa dari Korea Selatan sebagai pengikhtirafan antarabangsa di atas jasa-jasa baginda di dalam bidang sukan. Pembangunan bidang sukan dapat mengeratkan integrasi nasional, mencergas dan mencerdaskan masyarakat ke arah pembentukan Malaysia cergas.

Selain daripada itu, institusi diRaja juga merupakan penaung kepada rumah-rumah dan badan-badan kebajikan. Contohnya rumah anak yatim Tengku Fatimah di Alor Akar Kuantan adalah dinaungi oleh institusi diRaja negeri Pahang. Begitu juga dengan rumah Anak Yatim Tengku Badariah di Kelang, rumah orang-orang tua, rumah orang-orang buta dan badan-badan kebajikan yang lain adalah dinaungi oleh institusi diRaja disetiap negeri dengan dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini membuktikan kepada kita betapa prihatinnya institusi diraja menjaga kenajikan masyarakat sebagai salah satu usaha untuk membolehkan rakyat memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Saya akhiri pidato saya dengan kalimah wabillahitaufik wal hidayah.

Assalamualaikum wbt.

2 comments:

Anonymous said...

salam, mohon share ye :)

muhammad zulqarnain sujud said...

salam , mohon share ye :)