Singgoh Le Dulu Aok Yer

Thursday, September 15, 2011

NAMA

"Nama itu penting bagi kita. Bagi semua kejadian. Yang mula-mula diajarkan oleh Allah Ta'ala kepada Nabi Adam, nenek kita. Kemudian diadakan pertandingan dengan malaikat. Bila Tuhan suruh beritahu nama-nama benda, malaikat tidak dapat. Lalu malaikat memuji kebesaran Allah Ta'ala dan mengakui kelemahan dan kecetekan pengetahuan mereka. Mereka pun tunduk hormat kepada Nabi Adam. Bila Nabi Adam diperintahkan Allah Ta'ala menyebut nama-nama itu, dia dapat menyebutnya satu persatu. Dia dihormati oleh malaikat kerana pengetahuannya lebih daripada malaikat. Dia dihormati kerana alim dalam nama-nama. Itulah yang kita maksudkan dengan ilmu. Dalam nama-nama itu terkandung ilmu yang mendalam. Siapa yang beri ilmu itu? Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jadi bila kita kembali kepada falsafah nama ini, kita kembali kepada asal kejadian kita, kepada fitrah kita, kepada janji kita dengan Allah Ta'ala. Kamu tahu apa janji itu? Janji itu ialah janji semua anak Adam, yakni manusia, untuk menyembah hanya Allah Ta'ala, menjadi hamba-Nya. Tidak Aku (yakni Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku, yakni menjadi hamba Allah Ta'ala. Itulah firman Allah Ta'ala. Kemudian daripada itu, manusia dikenal dengan namanya. Jadi nama itu sangat mulia pada diri manusia. Itulah peribadinya. Itulah kemegahannya. Itulah juga kemuliaannya. Dengan nama, dengan ilmu, nenek kita Nabi Adam menang dalam pertarungan dengan para malaikat. Jika kamu tahu rahsia ini, kamu tidak akan sia-siakan namamu. Kamu tidak akan rendahkan peribadimu. Kamu tidak akan turunkan darjatmu sebagai manusia, kerana dalam pertandingan dengan malaikat itu kamu telah menang. Allah Ta'ala menyebelahi kamu dengan memberi kamu ilmu. Jangan kamu sia-siakan hakikat ini. Itulah hakikat dan rahsia nama. Kamu faham?"

"Nama itu amanah. Sesuatu yang dipercayakan kepada kita untuk dijaga, dipelihara, dimuliakan dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik. Oleh itu orang yang bijaksana selalu dimuliakan dengan sebutan yang baik setiap kali orang menyebut namanya. Kamu tahu mengapa Tuhan perintahkan kita berselawat kepada Nabi Muhammad, Sallal'Lahu 'alayhi wassalam? Supaya kita selalu ingatkan asal usul kejadian kita. Kita kembalikan diri kita kepada asal usul kejadian kita dengan berselawat. Kita memuji Nabi Junjungan yang menerusinya kita mengetahui segala yang ghaib tentang diri kita. Kita kembali kepada amanah kita, kepada janji-janji kita dengan Allah Ta'ala. Dengan berselawat, kita disuruh selalu ingat bahawa kita juga mestilah mencuba mencapai taraf yang tinggi dalam hidup kita. Apa dia? Ialah berbuat baik, ikhlas, rajin, jujur, taat, merendah diri tetapi tegas. Mengapa kita buat semua itu? Supaya kita tidak sia-siakan nama kita. Amanah yang diberikan kepada kita. Supaya setiap kali orang menyebut nama kita, orang mendoakan kita dengan kebaikan. Bila kita selalu dikenal sebagai orang baik, itulah doa. Itulah yang kita minta selalu. Bila sudah begitu, kita pun hidup bahagia. Tidak menyusahkan orang. Dan orang selalu berasa gembira, senang hati, dan hormat setiap kali dia menyebut nama kita. Masya Allah, sungguh cantik rahsia nama ini. Sungguh cantik. Kalau kamu tahu rahsianya, kamu akan jaga namamu baik-baik supaya tidak tercemar sedikit pun. Masya Allah!"

Mohd Affandi Hassan
Jejak Warisan
1993

No comments: